Sabtu, 16 Januari 2010

Sedih + Terkilan = Mehnah Berjuang



Assalamu'alaikum.....


Sampai satu masa, kita akan berubah. Berubah pada pemikiran, gaya menyampaikan dakwah, manhaj dalam berilmu, malah sikap dan kelakuan.

Perubahan itu adalah proses biasa dalam kehidupan, ada perubahan yang diusahakan atas pilihan, dan ada juga perubahan yang dilakukan kerana terpaksa. Pokoknya manusia berubah dari satu masa ke satu masa. Sesuai dengan pertambahan usia.

Maka, dalam hidup ini, pada setiap peringkat yang kita berada, jangan sekali-kali kita lakukan perkara yang nantinya menyukarkan diri untuk berubah. Apabila kita sedar yang kita perlu berubah, tetapi kita elakkan diri dari berubah kerana hal-hal silam yang telah kita lakukan, maka kita akan mula tidak jujur kepada diri sendiri. Kita tetap berubah, iaitu berubah menjadi seorang penipu dan pengkhianat kepada diri sendiri.

PERUBAHAN AKHLAK

Orang Barat di sana tu, menepati masa. Bekerja dengan penuh amanah. Akhlaq ini bukan lalang, boleh tumbuh sendiri. Perlu kepada usaha. Habit positif di Barat bukan tercetus sendiri. Mereka mengajar dan belajar mengenainya. Barat belajar dan mengajar ‘habit’ (akhlaq). Memang dalam sejarah Barat, kesan kepincangan Kristianiti, ramai yang membuang agama. Tetapi yang dibuang itu adalah ritual. Substance atau intinya masih dijaga dan dipupuk.

Untuk membentuk tabiat positif, ada teknik dan kaedahnya. Ia diajar dan dipelajari secara intensif di sekolah-sekolah. Barat boleh buat semua ini sebab mereka memuliakan manusia. Lantas mereka berminat mengkaji manusia. Sebab itu, majoriti disiplin Sains Kemanusiaan seperti Psikologi, Sains Politik, Kaunseling, Komunikasi dan lain-lain, dibangunkan dan dikembangkan oleh Barat. Mereka tidak memperlekehkan anak-anak. Jika anak berusia 3 tahun mahu bercakap, mereka akan berhenti bercakap dan memberi perhatian dan tkepada anak mereka. Tidak seperti kita di sini, “Eh, diamlah. Orang tua nak bercakap, kamu sibuk nak bercakap. Pergi main sana!”, ini bahasa biasa kita terhadap anak-anak sendiri.

Cumanya, dengan membelakangkan agama, tabiat itu mudah tersasar. Nilai mudah berubah. Puncanya ialah kerana tiada nilai Ta’abbud (ibadah). Tiada Ubudiyyah (pengabdian diri) kepada Allah. Tiada reference point (sumber rujukan utama) dalam hidup. Kebaikannya terpisah dan tidak berhubung dengan Tuhan, kerana ramai yang berkrisis terhadap ritual dalam agama. Maka rugilah Barat dari sudut Ta’abbud kerana meninggalkan ‘agama’ (ritualnya).

UMAT ISLAM PULA BAGAIMANA?
Kita sangat mementingkan ritual, sehingga menyangkakan ritual itu puncak agama. Kita semakin percaya bahawa Akhlaq ialah lalang. Tidak perlu diajar, tidak perlu disemai dan dipupuk. Akhlaq tumbuh sendiri tanpa perlu disemai, dibaja dan dijaga! Lantas agama kita hanya sibuk dengan ritual, tetapi unsur berupa Akhlaq, Tabiat, Habit… dibiarkan …Pandai-pandai sendiri… kerana percaya ia lalang.
Soalnya, orang Barat ‘tak ada agama’ tapi ada tabiat positif. Ada HABIT. Kita yang ada agama, tak ada Akhlaq. Habis, macam mana nak jawab kalau ada orang persoalkan, apa gunanya agama kalau yang beragama tidak berakhlaq, sedangkan Barat tanpa Islam pun boleh lebih ‘Islamik’!”

Ibnu Batuta pernah menyatakan “Aku melihat Islam itu di Barat tetapi tidak ada orang Islamnya. Aku menemukan orang Islam di Timur tetapi tiada pula Islamnya …”. Jadi, ke manakah pula Islam ketika itu?

HIDUPKAN KEMBALI TUJUAN AGAMA
“Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurniakan kemuliaan dan nilai Akhlaq”
(Disahihkan oleh al-Albani - 1/45).

Atas dasar itulah sepatutnya kita menghargai usaha Imam al-Ghazzali menulis kitabnya Ihya’ ‘Ulumiddin. Al-Ghazzali kecewa dengan golongan Fuqaha’ yang terperangkap di dalam ritual. Sedangkan solat disyariatkan untuk membentuk peribadi lalu mendidik hati. Semestinya untuk Akhlaq diri manusia . Tetapi umumnya di masa itu, orang sibuk dengan rukun dan syarat Ibadah, tetapi peranan Ibadah dalam membentuk jiwa dan Akhlaq tidak dipedulikan. Maka agama menjadi ritual… kulit semata-mata. Yang kuat bersembahyang itulah yang kuat temberang. Yang bertudung itulah yang paling tak malu. Yang berkelulusan agama itulah MUSUH agama.

GENERASI KURANG AJAR

Ada yang risau, generasi muda sekarang tak hormat Ulama’. Maka jari ditunding kepada manhaj (sistem pendidikan). Manhaj dipersalahkan. Cara belajar dipersalahkan. Benarkah itu puncanya? Benarkah kalau belajar bertalaqqi (secara berdepan, eklusif) dengan guru lagi bersanad, maka terhindar dari gejala Akhlaq? Benarkah cara tradisional lebih membentuk Akhlaq berbanding cara moden ala-ala universiti, sijil dan ijazah?

Maka, bukan cara belajar yang dibimbangkan, tetapi apa yang diajar dan apa yang dipelajari, itu yang lebih utama. Lantas kurang ajar itu terpalit pada manhaj yang sudah cukup matang dan lama, lagi berjasa kepada agama. Sebagaimana Islam terfitnah oleh kelakuan penganutnya, begitulah juga manhaj disalah ertikan oleh kemarau Akhlaq pendukungnya.

MENGUBAH SIKAP TERHADAP SESAMA KUMPULAN ISLAM
Dalam hal ini juga manusia itu boleh berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Sebab itulah jangan kita terlalu mencederakan lawan. Sampai satu masa, kita mungkin perlu berubah. Mungkin tidak mengubah masyarakat, tetapi mengubah sikap terhadap sesama masyarakat.

Sudah binasa umat kita dimakan hedonisma dan maksiat yang menggila. Kezaliman makin melampau, dan setiap kita lemah untuk pergi ke medan sendirian. Di peringkat kepimpinan, kesedaran telah ada untuk saling bekerjasama. Tetapi di peringkat yang lain pula, sukar benar untuk kita berlapang dada.
Mengapa?

Kerana semasa kita di kumpulan A, kita sangat rakus mencederakan kumpulan B dan C. Semasa kita di kumpulan B, kita membina kejayaan dengan memijak dan mengkhianati kumpulan A dan C. Maka kita telah menyulitkan perubahan.

Apabila tiba masa kita bekerjasama, kita sukar berlapang dada. Kerana luggage kita berat dengan perbuatan silam.
Maka bagi generasi pendakwah Islam yang baru, bersederhanalah…
Izinkan diri untuk menempuh perubahan dari satu usia ke satu usia, kerana ia sebahagian dari proses kematangan Bani Insan.

CABARAN PENDAKWAH
Cabaran emosi yang paling rumit ialah apabila manusia mahu dihargai oleh manusia yang lain. Jangan kecil hati, jika kita tidak dihargai. Perkara tersebut akan berlaku berulang kali, dan jangan sekali-kali seorang pendakwah kecundang kerananya.

Pendakwah harus kuat. Bukan sahaja kuat ilmu dan tajam minda, malah kuat emosi dan kukuh perasaan. Jangan mudah dimain perasaan dan jangan pula berdakwah tanpa perasaan! Ya, manusia memang pelbagai ragam.

Jika kita suka mengharapkan agar kebaikan kita dihargai dan disebut-sebut, penulis kira orang seperti ini tersilap planet. Hal ini perlu difikirkan semasak-masaknya oleh kita semua. Hanya dengan itu sahaja, the unsung hero tidak berputus asa untuk terus melakukan kebaikan. Pelbagai lagi kebaikan yang dilakukan oleh hero-hero yang tidak didendangkan ini, sukar untuk diteruskan jika kita masih memikirkan sejauh mana jasanya dihargai oleh manusia.

Selagi ada rasa mahu dihargai manusia, kita memang sudah tersilap mendarat di planet ini. Manusia memang sukar menyebut dan menghargai kebaikan.Teringat penulis pesanan Luqmanul Hakim: Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

Nak memuaskan hati manusia itu rumit. Kerana itulah, pegang sahaja slogan GOD IS MY CEO . Buat kerja, biar jadi ibadah, itu sahaja justifikasinya. Jika masih mahu dipuji manusia, renung sahajalah ayat ini:

“Dan sedikit sahaja dari kalangan hamba-Ku yang bersyukur” (Surah Saba, ayat 13)

Orang yang bersyukur tidak mintak pujian daripada manusia, tetapi hanya daripada Allah, yakni meminta keredhaan-Nya.

KESIMPULAN
Benar sekali, setelah begitu banyak kebaikan yang Allah curahkan kepada manusia, sedikit sahaja yang mahu berterima kasih kepada-Nya. Maka bagaimanakah pula kita? Hamba Allah yang kerdil ini boleh tidak lena malam hanya kerana kecewa dan berkecil hati dengan mad’u (orang yang didakwah) kita. Tetapi layakkah kita?

JANGAN BERKECIL HATI. Kita kan hamba!



Akhirul kalam, setiap perbuatan yang baik adalah ibadah, jika kita sandarkan kepada Allah. Wallahua’lam ...

Dipetik dan diedit daripada saifulislam.com

Tiada ulasan:

Catat Komen

Template by:
Free Blog Templates